Sunday, December 07, 2014

Baju Besi Yang Sempit Azab Bagi Mereka Yang Melakukan Keburukan

No comments:
Petikan hadith12

Dari Uqbah ibn Amir r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Sesungguhnya perumpamaan bagi orang yang melakukan keburukan kemudian melakukan kebaikan ialah seperti seorang yang memakai baju besi yang sempit lalu tercekik. Kemudian dia melakukan kebaikan yang menyebabkan sambungan baju itu longgar, kebaikan yang dilakukan seterusnya menyebabkan ia bertambah longgar dan akhirnya akan terlucut ke tanah."
 (HR Ahmad)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Api dunia kamu adalah sebahagian daripada satu pertujuh puluh daripada api neraka. Seorang bertanya: Ya Rasulullah SAW bukankah api dunia sudah cukup panas. Rasulullah SAW menjawab: (Api dunia kalau dibandingkan dengan api neraka) adalah enam puluh sembilan kali lebih panas dan setiap satu kepanasan itu adalah sama dengan panasnya api dunia."
 (HR Bukhari)

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
" Tempat meletak busar panah seorang dari kamu dan tempat pemijak kaki dari syurga adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya dan jika salah seorang daripada wanita-wanita (bidadari) syurga muncul ke bumi nescaya akan bercahaya-cahaya daripada syurga hingga ke bumi dan akan dipenuhi keduanya dengan bau yang harum dan selendang atau tudungnya lebih bernilai daripada dunia dan seisinya."
 (HR Bukhari)

Dari Ibn 'Abbas r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan Israfil, semenjak hari penciptaannya terus berdiri dengan lurus di atas kedua belah kakinya tidak pernah mengangkat wajahnya. Di antara dia dan TuhanNya yang Maha Tinggi terdapat tujuh puluh hijab (dinding) dari Nur. Jika ia mendekati kepada hijab ini nescaya akan terbakar."
 (HR Masahibus Sunnah)

Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Sesungguhnya telah Berjaya seseorang itu yang beriman dengan ikhlas, menjadikan hatinya suci (dari syirik dan kekufuran) ucapannya jujur dan benar, jiwanya tenang (orang yang banyak berzikir dan melaksanakan segala perintah Allah akan mendapat ketenangan), baik budi pekertinya, menjadikan telinganya mendengar (nasihat) dan matanya melihat kepada kebenaran." 
(HR Musnad Ahmad)

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
" Tiga sifat, barangsiapa mempunyai sifat-sifat yang berikut akan merasai kemanisan iman: Pertama, mereka yang mencintai Allah SWT dan Rasul SAW lebih dari segala sesuatu. Kedua, Tidak mencintai seseorang kepada seseorang yang lain kecuali kerana Allah SWT. Ketiga, seorang yang membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api."
 (HR Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
" Allah SWT akan turun kelangit bumi pada dua pertiga daripada malam dan bertanya: Siapakah orangnya yang berdoa kepadaKu nescaya Aku akan perkenankan doanya. Dan siapakah orangnya yang meminta sesuatu akan Ku beri permintaannya. Dan siapakah orangnya yang memohon pengampunan nescaya akan Ku ampuni baginya."
 (HR Bukhari)

Dari Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Allah SWT mengampuni dosa-dosa seorang muazzin sejauh mana suaranya itu kedengaran. Dan setiap yang bernyawa atau tidak bernyawa yang mendengar suara azannya memohon keampunan baginya, dan di dalam satu riwayat yang lain setiap yang bernyawa atau tidak bernyawa menjawab seruan azan yang didengarinya."
 (HR Ahmad)

Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
" Pada malam Isra’ aku telah lalu berhampiran satu golongan yang bibir-bibir mereka dipotong dengan sebilah gunting dari api neraka. Aku telah bertanya kepada Jibrail a.s siapakah mereka ini? Jibrail a.s menjawab: Mereka adalah juru nasihat yang selalu menyuruh orang lain berbuat baik dan melupakan diri sendiri, yakni dia sendiri tidak beramal. Padahal mereka membaca kitab Allah SWT. Tidakkah mereka faham."
 (HR Musnad Ahmad)

Dari Amr bin ‘Auf r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
" Demi Allah! Bukanlah kemiskinan itu yang aku khuatirkan terhadap kamu, tetapi yang aku khuatirkan kepada kamu ialah dunia dilapangkan kepada kamu, sepertimana ia telah dilapangkan kepada orang-orang sebelum kamu, kemudian kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya sepertimana orang-orang sebelum kamu berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Lalu dunia akan melalaikan kamu sepertimana ia telah melalaikan mereka."
 (HR Bukhari)


Dari Zaid bin Thabit r.a berkata: saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
" Jika matlamat seseorang itu adalah dunia maka Allah SWT akan memporak perandakan urusannya. Yakni Allah SWT akan menyusahkannya di dalam segala urusan (rasa khuatirkan) kemiskinan terbayang-bayang dihadapan matanya, dan dia akan mendapat dunia hanya sekadar apa yang telah ditakdirkan untuknya. Dan sesiapa yang niatnya adalah akhirat, maka Allah SWT akan memudahkan urusannya dan Allah SWT akan menjadikan hatinya kaya, dan dunia akan datang dalam keadaan hina kepadanya."
 (HR Ibnu Majah)

Diriwayatkan daripada Hadhrat Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
" Sesiapa yang menyeru kearah hidayah dan pekerjaan yang baik, dia akan mendapat pahala sama banyak dengan pahala orang-orang yang mengikutnya. Dan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang-orang yang mengikutinya. Begitu juga, sesiapa yang menyeru kejalan kesesatan, dia akan mendapat dosa sepertimana dosa orang-orang yang mengikuti kesesatan itu. Dan kerananya tidaklah berkurangan dosa orang-orang yang mengikutinya itu."
 (HR Muslim)

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
" Kerana (mendakwahkan) agama, aku telah ditakut-takutkan yang mana tidak ada seorang pun yang ditakut-takutkan seperti itu, dan aku telah disakiti hingga tiada siapa yang disakiti seperti ini. Telah berlalu tiga puluh malam dan tiga puluh siang berturut-turut dalam keadaan tidak ada makanan sedikit pun yang boleh dimakan oleh benda bernyawa kecuali kadar yang boleh disembunyikan oleh ketiak Bilal. Yakni kadar yang terlalu sedikit."
 (HR Tirmizi)

Dari Zaid bin Khalid Juhani r.a meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW telah bersabda:
" Sesiapa yang menyiapkan kelengkapan orang yang menunaikan haji atau orang yang keluar di jalan Allah SWT atau pun mengambil berat tentang ahli keluarga mereka selepas pemergian mereka, atau menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala sama seperti orang yang keluar di jalan Allah yang pergi mengerjakan haji dan orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikit pun pahala mereka."
 (HR Baihaqi)

Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda:
" Semua umatku layak diberi keampunan kecuali mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan. Ini termasuklah orang yang melakukan dosa pada suatu malam dan kemudiannya pada waktu pagi walaupun Allah telah menutup dosanya (dan tidak menampakkannya kepada orang ramai) dia berkata: Wahai fulan! Malam tadi aku telah melakukan (dosa) itu dan ini. Padahal dia menghabiskan malam dalam keadaan Tuhannya menutupinya tetapi dipagi hari menampakkan apa yang Allah SWT tutup (pada malam itu)."
 (HR Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
" Setiap hari Isnin dan hari Khamis, amal-amal manusia akan dipersembahkan dihadapan Allah SWT dan Allah SWT akan mengampuni mereka pada hari itu bagi orang yang tidak mensyirikkan sesuatu dengan Allah, kecuali seorang yang memusuhi akan saudaranya (orang ini akan kecewa dari pengampunan Allah). (Malaikat) akan mengatakan kepadanya: Tinggalkanlah kedua orang ini sehingga kedua-duanya bermaaf-maafan, tinggalkanlah kedua orang ini sehingga kedua-duanya saling bermaaf-maafan."
 (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
" Tahukah kamu apa itu memfitnah? Para sahabat r.hum berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda SAW bersabda: Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (muslim) ketika dia tiada yang dia tidak suka. Ditanya: Wahai Rasulullah, jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang muslim, maka apa yang harus aku katakan? Baginda SAW menjawab: Jika apa yang dikatakan benar, maka itu adalah mengumpat (bahkan lebih buruk daripada memfitnah)."
 (HR Muslim)

Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Akan datang dari umatku pada hari Kiamat nanti dimana cahaya mereka seperti cahaya matahari. Kami bertanya: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab: Mereka itu ialah muhajirin yang miskin. Yang berada teguh dalam kerja-kerja yang sukar dibarisan hadapan. Apabila mereka mati keinginan mereka turut terpendam didalam dadanya. Mereka dihimpunkan dari segenap penjuru bumi ini."
 (HR Musnad Ahmad)

Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Tidak ada yang dicintai oleh Allah lebih dari dua titisan dan dua kesan. Titisan ialah satu titisan air mata kerana takut kepada Allah. Kedua ialah titisan darah yang mengalir di jalan Allah. Dan dua kesan ialah kesan yang terjadi di jalan Allah (seperti parut-parut luka atau kesan cedera yang berlaku di jalan Allah) dan kedua ialah kesan dari melaksanakan perintah-perintah Allah yang fardhu (seperti tanda-tanda sujud atau kesan perjalanan haji dan lain-lain)."
 (HR Tirmizi)

Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Tidaklah orang yang berkumpul untuk berzikir kepada Allah Azza wa Jalla dengan tiada keinginan lain daripada mencari keredhaanNya, kecuali bahawa (pada akhir majlis itu) seorang malaikat mengumumkan dari langit (dengan perintah Allah): Bangunlah orang-orang yang patut mendapat keampunan, kerana sesungguhnya dosa-dosamu telah diganti dengan kebaikan."
 (HR Musnad Ahmad, Tabrani, Abu Ya’la, Bazzar dan Majma uz Zawaid)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
" Seorang mukmin selepas kematiannya akan terus mendapat ganjaran daripada amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang dipelajari lalu diajarkan kepada orang lain dan terus disebarkannya. Anak-anak yang soleh yang ditinggalkan. Al-Quran yang diwariskan atau masjid-masjid yang dibinanya atau rumah-rumah musafir diperjalanan yang didirikannya atau anak-anak sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya."
 (HR Ibnu Majah)

No comments:

Post a Comment

Random Posts

  • Perbanyakan Berzikir Siang Dan Malam
    28.01.2015 - 0 Comments
    Bersama Orang-orang Yang Berzikir                    …
  • Mengetahui Cara Penurunan Al-Quran KItab Suci Allah SWT
    04.02.2015 - 0 Comments
    Firman Allah S.W.T.:   " Dan mereka ( orang-orang kafir itu ) tidak datang kepadamu ( membawa…
  • Balasan Azab Pengumpat Di Hari Kiamat
    13.02.2015 - 0 Comments
    Semoga lebih memahami… Gerakkan hati tetapkan Iman Pengumpat Al-Humazah 1-9 surah ke-104 Dengan Nama…
  • Hadis Bukan Umatku Tua ataupun Muda
    06.12.2014 - 0 Comments
    Petikan hadith6 Dari Ubadah bin Samit r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: " Bukan…

"Barang siapa yang dikehendaki oleh Allah SWT kebaikan,maka dia dijadikan pintar dalam agama dan diilhami oleh-Nya kepandaian dalam perkara itu" Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim & tambahan kata-kata"...diilhami oleh-Nya kepandaian" diriwayatkan oleh Thabrani .

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga. (HR Muslim)

Copyright © 2025 RealEye4U...

Canvas By: Fauzi Blog Responsive By: Muslim Blog Seo By: Habib Blog Shared By: Islamic Blogger Template