Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Sebatang pokok sering memberi kesusahan kepada (lalu lintas) orang-orang Islam, lalu datang seorang lelaki menebangnya. Allah memasukkannya ke dalam syurga."
(HR Muslim)
Dari Amir Ibn Shuib r.a dari bapanya dari datuknya meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Bermulanya islah(pembentukan) bagi ummat ini ialah Iman dan Yakin yang sempurna. Dan bermulanya kerosakan bagi ummat ini ialah disebabkan bakhil dan panjang angan-angan."
(HR Baihaqi)
Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Barangsiapa yang diberi kebaikan oleh Allah SWT ke atas seorang hambaNya maka akan diberi faham dalam agama dan mengilhamkan didalam hatinya perkara-perkara yang benar."
(HR Bazzar, Tabrani)
Dari Ibnu ‘Abbas r.huma meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Orang yang pertama sekali akan dipanggil untuk memasuki syurga ialah orang yang sentiasa berzikir memuji-muji Allah dalam keadaan senang atau susah."
(HR Hakim)
Rasulullah SAW bersabda:
" Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dengan orang yang tidak berzikir kepada Allah adalah sepertimana orang yang hidup dengan orang yang mati."
(HR Bukhari dan Muslim)
Dari Abdullah bin Busrin r.a meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki berkata kepada baginda Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, Sesungguhnya syariat Islam telah banyak (yang semestinya kami amalkan tetapi) berikanlah kepadaku satu amal supaya tetap menjadi amalanku. Baginda SAW bersabda: Janganlah putus-putus lidah kamu basah dari mengingati Allah SWT."
(HR Tirmizi)
Dari Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
" Dua serigala kelaparan yang dilepaskan pada satu kumpulan kambing tidak mampu memudaratkannya lebih dari kemudharatan pada Agama yang dilakukan oleh sifat tamakkan harta dan keinginan untuk menjadi orang yang berpengaruh."
(HR Tirmizi)
Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika meriwayatkan satu hadis Qudsi telah bersabda:
" Wahai anak Adam!, Jika engkau terus bersabar (bilamana hilangnya sesuatu dari dirimu) dan engkau terus harapkan pahala, maka aku tidak rela membalasimu dengan balasan yang lebih rendah dari syurga."
(HR Ibnu Majah)
Hadhrat Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
" Sesiapa yang telah mengatakan dengan lidahnya suatu perkara yang benar, yang diamalkan selepas itu, maka Allah SWT akan menjalankan pahalanya sehingga Kiamat, dan di hari kiamat nanti Allah SWT akan menganugerahkan pahala yang sempurna."
(HR Musnad Ahmad)
Dari Abu Razin r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Tidakkah aku khabarkan kepadamu beberapa perkara asas yang mana kamu akan mendapat kebaikan didunia dan akhirat? Hendaklah kamu duduk didalam majlis-majlis ahli zikir, dan apabila kamu bersunyi diri hendaklah kamu menggerakkan lidah kamu setakat mana yang kamu mampu untuk berzikrullah."
(HR Baihaqi)
Dari Abu Hurairah r.a dan Abu Said Al-Khudri r.a keduanya bersaksi bahawa Nabi SAW bersabda:
" Tidaklah satu kelompok yang duduk mengingati Allah kecuali para malaikat menaungi mereka dengan sayap-sayapnya, dan rahmat Allah meliputi mereka, sakinah turun ke atas mereka dan Allah menyebut mereka dalam majlis para malaikat."
(HR Muslim)
Dari Syaddad bin Aus r.a berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda;
" Sesiapa bersolat untuk menunjuk-nunjuk, dia telah melakukan syirik. Sesiapa yang berpuasa untuk menunjuk-nunjuk, dia telah melakukan syirik. Sesiapa yang bersedekah untuk menunjuk-nunjuk, dia telah melakukan syirik."
(HR Musnad Ahmad)
Dari Anas r.a, katanya: Nabi SAW menggariskan beberapa garis, lalu Baginda bersabda:
" Ini adalah angan-angan manusia sedang ini adalah ajalnya. Kemudian di waktu orang itu sedang dalam keadaan sedemikian yakni angan-angannya masih tetap panjang dan membumbung tinggi, tiba-tiba datanglah garis yang terpendek yakni garis yang memotongnya iaitu kematian."
(HR Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
" Jika seseorang telah berkata: Telah binasa manusia, maka dialah yang paling binasa diantara mereka (kerana dengan mengatakan demikian itu dia terjerumus di dalam dosa takabur disebabkan dia menganggap orang lain hina)."
(HR Muslim)
Dari Muaz bin Jabal r.a meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah SAW meriwayatkan sebuah hadith qudsi: Allah Azza Wa Jalla berfirman:
" Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaanKu akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari kiamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."
(HR Tirmizi)
Dari Abu Umamah al-Bahiliy r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW telah bersabda:
" Sesiapa yang mukanya telah berlumuran debu di jalan Allah SWT, pada hari kiamat nanti Allah SWT akan memelihara muka itu dari api neraka. Dan sesiapa yang kedua-dua belah kakinya telah berlumuran debu di jalan Allah SWT, Allah SWT akan memelihara kakinya dari api neraka."
(HR Baihaqi)
Dari Hadrat Huzaifah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
" Apa sahaja kekurangan atau dosa yang berlaku pada seseorang dalam menunaikan hukum hakam yang berkaitan dengan isterinya, hartanya, anak-anaknya, atau jirannya akan dikaffarahkan oleh solat, sedekah, amar-bilma’ruf dan nahi ‘anil-mungkarnya."
(HR Bukhari)
Dari Abdullah r.a berkata: Seolah-olah aku sedang melihat Rasulullah SAW menceritakan peristiwa seorang nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga berlumuran darah, menyapu darah dari mukanya dan berkata: Wahai Allah! Ampunilah kaumku, kerana mereka tidak tahu. (Peristiwa seumpama ini berlaku kepada Nabi SAW sendiri ketika peperangan Uhud berlaku."
(HR Bukhari)
Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Mahukah daku khabarkan kepadamu sesuatu yang lebih baik daripada puasa, solat dan sedekah? Para sahabat r.hum berkata: Bahkan ya Rasulullah! Baginda Rasulullah SAW bersabda: Bersatu (hati) adalah lebih baik kerana perselisihan dan perbalahan akan menghapuskan agama."
(HR Tirmizi)
Dari Jabir bin Abdullah r.a berkata; Aku mendengar baginda Rasulullah SAW bersabda:
" Barang siapa bertemu Allah dalam keadaan tidak menyengutukan sesuatu selain daripada Allah akan memasuki syurga. Dan barangsiapa bertemu Allah dalam keadaan dia menyengutukan sesuatu denganNya memasuki neraka."
(HR Muslim)
Dari Abu Umamah r.a berkata seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW:
" Wahai Pesuruh Allah! Apakah itu iman? Baginda SAW menjawab: Apabila kamu berasa gembira dengan amal kebaikanmu dan kamu merasa benci dengan amal keburukanmu, maka kamu adalah seorang yang beriman (mukmin)."
(HR Al-Hakim)
No comments:
Post a Comment