Thursday, December 04, 2014

Hadis Riwayat Imam Bukhari

No comments:


  Sayyidina ‘Usman r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : 
“ Yang terbaik antara kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkanya .”
 (HR. Bukhari )

Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

" Barangsiapa mahu supaya rezekinya ditambah dan umurnya dipanjangkan, hendaklah dia menghubungkan silaturrahmi di antara saudara-saudaranya.”
 (HR Bukhari)


Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda:

" Semua umatku layak diberi keampunan kecuali mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan. Ini termasuklah orang yang melakukan dosa pada suatu malam dan kemudiannya pada waktu pagi walaupun Allah telah menutup dosanya (dan tidak menampakkannya kepada orang ramai) dia berkata: Wahai fulan! Malam tadi aku telah melakukan (dosa) itu dan ini. Padahal dia menghabiskan malam dalam keadaan Tuhannya menutupinya tetapi dipagi hari menampakkan apa yang Allah SWT tutup (pada malam itu)."
 (HR Bukhari)


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

" Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahmi yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau pun diam."
 (HR Bukhari)


Dari Abdullah bin Amr r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

 " Seorang muslim adalah seorang yang tidak menyakiti muslim yang lain dengan lidah atau dengan tangannya dan seorang muhajir adalah seorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah.
 (HR Bukhari)


Dari Abdullah bin Umar r.a berkata bahawa Rasulullah SAW memegang bahuku (untuk menarik perhatianku kepada perkara yang penting ini) lalu bersabda:

" Hiduplah kamu di dunia ini seperti musafir atau sebagai orang yang sedang melintasi jalan."
 (HR Bukhari)


Dari Abdullah bin Zubair r.huma berkata: Wahai manusia! Sesungguhnya Nabi SAW pernah bersabda: 

 " Kalaulah anak Adam ini diberi satu lembah daripada emas, nescaya dia berkeinginan untuk mendapatkan lembah yang kedua. Dan sekiranya diberi lembah kedua nescaya dia berkeinginan untuk mendapatkan lembah yang ketiga. Dan sentiasa tidak akan merasa cukup perut anak Adam ini kecuali dipenuhi dengan tanah (iaitu setelah mati). Namun satu rahmat Allah terhadap hambaNya, dari mencintai harta dunia kepada mencintai Allah (Dengannya didunia ini Allah memberi ketenangan dan memelihara dari sifat tamak dan rakus dari mengumpul harta)."
 (HR Bukhari)


Dari Haris bin Wahbin r.a berkata, aku mendengar nabi SAW bersabda:

" Tidakkah aku tunjukkan kepada kamu, siapakah ahli-ahli syurga? (Kemudian Nabi SAW sendiri bersabda): Tidakkah aku tunjukkan kepada kamu, siapakah ahli-ahli syurga? Mereka ialah setiap orang yang lemah yakni orang yang berlebih kurang apabila bermuamalah dengan orang lain, tidak keras hatinya, tawadhuk dan berhati lembut sehingga orang menyangka dia seorang yang lemah (hubungannya dengan Allah adalah) sekiranya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya sumpahnya ditunaikan. Dan tidakkah aku beritahu kepadamu siapakah ahli neraka. Kemudian Nabi SAW sendiri menjawab: Dia ialah seorang yang mengumpulkan harta tetapi bakhil, keras hati dan takabur.
 (HR Bukhari)


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

" Tujuh golongan akan berada dibawah naungan rahmat Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya. (Pertama): Raja yang adil. (Kedua): Pemuda yang menghabiskan masa mudanya dengan beribadat kepada Allah. (Ketiga): Seorang lelaki yang hati sanubarinya sentiasa berpaut kepada masjid. (Keempat): Dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah. Bertemu dan berpisah kerana Allah. (Kelima): Seorang lelaki yang diajak oleh wanita bangsawan dan cantik kepadanya namun dia berkata: Aku takutkan Allah. (Keenam): Seorang lelaki yang membelanjakan hartanya secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya. Dan (Ketujuh): Seorang lelaki yang berzikir kepada Allah dengan bersunyi diri sehingga mengalirkan air mata."
 (HR Bukhari)


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:

" Api dunia kamu adalah sebahagian daripada satu pertujuh puluh daripada api neraka. Seorang bertanya: Ya Rasulullah SAW bukankah api dunia sudah cukup panas. Rasulullah SAW menjawab: (Api dunia kalau dibandingkan dengan api neraka) adalah enam puluh sembilan kali lebih panas dan setiap satu kepanasan itu adalah sama dengan panasnya api dunia."
 (HR Bukhari)


Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

" Tempat meletak busar panah seorang dari kamu dan tempat pemijak kaki dari syurga adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya dan jika salah seorang daripada wanita-wanita (bidadari) syurga muncul ke bumi nescaya akan bercahaya-cahaya daripada syurga hingga ke bumi dan akan dipenuhi keduanya dengan bau yang harum dan selendang atau tudungnya lebih bernilai daripada dunia dan seisinya."
 (HR Bukhari)


Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

" Tiga sifat, barangsiapa mempunyai sifat-sifat yang berikut akan merasai kemanisan iman: Pertama, mereka yang mencintai Allah SWT dan Rasul SAW lebih dari segala sesuatu. Kedua, Tidak mencintai seseorang kepada seseorang yang lain kecuali kerana Allah SWT. Ketiga, seorang yang membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api."
 (HR Bukhari)


Dari Amr bin ‘Auf r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

" Demi Allah! Bukanlah kemiskinan itu yang aku khuatirkan terhadap kamu, tetapi yang aku khuatirkan kepada kamu ialah dunia dilapangkan kepada kamu, sepertimana ia telah dilapangkan kepada orang-orang sebelum kamu, kemudian kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya sepertimana orang-orang sebelum kamu berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Lalu dunia akan melalaikan kamu sepertimana ia telah melalaikan mereka."
 (HR Bukhari)


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

" Allah SWT akan turun kelangit bumi pada dua pertiga daripada malam dan bertanya: Siapakah orangnya yang berdoa kepadaKu nescaya Aku akan perkenankan doanya. Dan siapakah orangnya yang meminta sesuatu akan Ku beri permintaannya. Dan siapakah orangnya yang memohon pengampunan nescaya akan Ku ampuni baginya."
 (HR Bukhari)




No comments:

Post a Comment

Random Posts

  • Perbanyakan Berzikir Siang Dan Malam
    28.01.2015 - 0 Comments
    Bersama Orang-orang Yang Berzikir                    …
  • Hukum Merokok Dari Pandangan Islam
    11.01.2015 - 0 Comments
    Merokok Dari Pandangan Islam  Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal…
  • Baju Besi Yang Sempit Azab Bagi Mereka Yang Melakukan Keburukan
    07.12.2014 - 0 Comments
    Petikan hadith12 Dari Uqbah ibn Amir r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: "…
  • Surah Al-Fatihah
    09.11.2014 - 0 Comments
                                 …

"Barang siapa yang dikehendaki oleh Allah SWT kebaikan,maka dia dijadikan pintar dalam agama dan diilhami oleh-Nya kepandaian dalam perkara itu" Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim & tambahan kata-kata"...diilhami oleh-Nya kepandaian" diriwayatkan oleh Thabrani .

Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Jika seseorang hamba bercakap bohong, maka kerana kebusukan bercakap bohong itu malaikat akan menjauhinya satu batu. (HR Tirmizi)

Copyright © 2025 RealEye4U...

Canvas By: Fauzi Blog Responsive By: Muslim Blog Seo By: Habib Blog Shared By: Islamic Blogger Template